Sesuai dengan namanya, Kafe Delicious kini berwajah baru dengan menampilkan pelbagai menu menambat selera.
Jika dahulu hidangannya lebih terarah kepada makanan barat, kini menu Delicious penuhi selera lapisan masyarakat.
Thai Duck Confit Salad (RM28.00)
Hidangan pembuka selera ini tampil dengan perisa menyegarkan.
Kombinasi kepingan itik, timun, tomato, limau bali dan basil memicu selera ketika menanti hidangan utama dihidangkan.
Korean Fried Chicken Wings (RM18.00)
Hidangan ini memang wow!
Lebih-lebih lagi jika disira dengan sos Gochujang yang pedas meletop!
Jika tak tahan pedas, minta honey glaze. Keranggupan ayam goreng boleh buat diri jadi ketagih.
Nasi Kerabu Ayam Percik (RM33.00)
Hidangan tradisi dari Pantai Timur ini tidak mengecewakan.
Hampir lengkap bahan-bahannya. Ada budu, sambal belacan, ikan masin, telur masin, kerabu dan juga sepotong peha ayam yang besar.
Mungkin boleh makan berdua untuk sepinggan.
Mee Goreng Mamak (RM28.00)
Tiada yang istimewa jika ingin dibuat perbandingan dengan mee mamak original.
Bagaimanapun, rasanya tidak menghampakan. Boleh dipesan jika anda seorang penggemar mee mamak.
Hainanese Chicken Chop (RM28.00)
Menu kegemaran ramai ini biasa-biasa sahaja.
Dihidangkan bersama sos Hainanese, kentang goreng dan sayuran segar, Hainanese Chicken Chop ini tidak rugi untuk dicuba kerana ia datang dalam saiz mewah.
Sirap Bandung Panna Cotta (RM18.00)
Manisan ini mesti dicuba kerana ia agak berbeza.
Dihidangkan bersama aiskrim vanilla, taburan sagu dan hirisan strawberi, panna cotta ini memberikan letusan rasa membahagiakan.